Selepas pilihanraya 8 Mac 2008, kita melihat PKR menerima banyak orang daripada MCA dan UMNO, adakah mungkin PKR akan menjadi seperti MCA dan UMNO pada masa depan? Dan DAP juga masih dilihat sebagai parti Cina, PAS sebagai parti agama. Adakah anda setuju dengan kenyataan ini?
Tidak mungkin KEADILAN menjadi seperti UMNO dan MCA. Bekas Anggota MCA yang menyertai KEADILAN tidak akan dan tidak akan dibenar menubuhkan badan baru yang berasingan dari parti induk. Mereka menjadi anggota KEADILAN, yang merupakan sebuah parti politik bersifat pelbagai kaum. Semua yang menjadi anggota KEADILAN, tidak kira latar belakang kaum serta agama mereka atau asal-usul hubungan politik mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dalam KEADILAN. Mereka tertakluk kepada Perlembagaan Parti. Ada orang juga berpendapat Pakatan Rakyat hanya berminat untuk memerintah tetapi tiada ideologi yang konkrit dan Dato' Seri Anwar juga hanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri. Apa komen anda?
Mana-mana parti politik yang berwibawa memang berminat dan bekerja untuk mendapat kuasa agar boleh mengubah negara dan masyarakat. Sungguhpun parti-parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai beberapa perbezaan pendirian, terutama berkaitan agama atau kepercayaan, namun persamaan di antara mereka dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, hak asasi, pembelaan rakyat susah atau terpinggir, korupsi dan lain-lain. banyak yang sama. Itu sebab merka boleh bekerjasama. Sekarang ini sedang diusaha untuk menyediakan dokumen yang menyatakan dasar-dasar PAKATAN.
Jikalau saudara berusaha untuk meneliti pelbagai ucapan dan kenyataan oleh para pemimpin PAKATAN, terutama sekali Sdr. Anwar Ibrahim, di dalam dan di luar Parlimen, saudara akan melihat lebih banyak persamaan dan perbezaan dasar yang mereka suarakan. Ya, tidak dinafikan parti-parti dalam PAKATAN dan ramai rakyat ingin melihat Anwar menjadi Perdana Menteri. Pada masa sama kami tahu juga beliau komited kepada cita-cita membawa perubahan yang membawa kebajikan serta kebebasan kepada rakyat ramai. Salahkah jikalau Anwar ingin menjadi PM? Kalau masalah dalaman yang berada di dalam Pakatan Rakyat tidak diselesaikan sebelum pilihanraya yang akan datang, adakah Barisan Nasional akan terus menang pada pilihanraya akan datang?
Secara objektif, masalah-masalah dalaman yang dihadapi oleh BN dan parti-parti komponennya jauh lebih teruk. Lihat saja apa yang kini berlaku dalam MCA, MIC, PPP, bahkan UMNO sendiri. Tidak dapat dinafikan ada juga perbezaan pendapat dan masalah yang dihadapi dalam PAKATAN. Bezanya, masalah kecil dalam PAKATAN dibesar-besarkan oleh media yang dikuasai UMNO-BN, akan tetapi masalah-masalah besar dalam BN dikecilkan ataupun tidak dilaporkan sama sekali oleh mereka. Yang penting, seperti yang terbukti dalam lapan pilihanraya kecil yang diadakan sejak Pilihanraya Umum ke-12, rakyat masih percaya kepada PAKATAN.
Anda berasa keadaan politik di negara bertambah baik atau bertambah buruk selepas pilihanraya 8 Mac 2008?
Di bawah Najib keadaan ekonomi, tekanan politik, korupsi dan jenayah semakin teruk. Selain itu, kewibawaan institusi-institusi seperti media, mahkamah, polis serta pencegahan rasuah semakin terhakis serta tercalar.
Dato' Seri Anwar melaungkan slogan menukar kerajaan persekutuan pada 16 September yang lepas tetapi tidak berjaya. Apabila Barisan Nasional mengambil alih Perak daripada Pakatan Rakyat, mereka juga berkata ini adalah masalah yang dibangkitkan oleh Anwar kerana menyeru pemimpin melompat parti pada 16 September. Apa pendapat anda tentang kenyataan ini.
Waktu itu memang cukup bilangan Ahli Parlimen yang tidak puas hati dengan UMNO-BN dan ingin berpindah. Akan tetapi mereka tidak berani mengambil langkah yang sewajarnya kerana bermacam-macam faktor, seperti rasuah, ugutan dan sekatan. Pakatan mahukan perubhan dilakukan secara demokratik dan mengikut Perlembagaan, melalui proses undi tidak percaya dalam Parlimen. Beberapa percubaan untuk mengemukakan isu penting supaya didebat dan kemudian dijadikan undi tidak percaya tidak dibenarkan oleh Perdanan Menteri dan Speaker. Lagi pula ramai Ahli Parlimen yang takut untuk memberi sokongan dalam undian terbuka di Parlimen. Kaedah dan proses yang hendak digunakan oleh Anwar berbeza dengan kaedah dan proses tidak demokratik dan bahkan mirip 'gangsterism' yang digunakan di Perak oleh pucuk pimpinan UMNO untuk merampas kuasa di negeri itu. Badan pencegah rasuah, polis, dan media diperalatkan sepenuhnya untuk menimbulkan suasana kacau. Speaker yang sah diheret keluar dengan cara paksa dan dikurung untuk memberi laluan kepada 'perasmian' sidang DUN. Timbul soalan tentang peranan raja dan mahkamah. Sebelum itu ramai yang mengetahui tiga orang EXCO/ADUN telah 'diculik' dan disimpan beberapa hari. Hanya Najib dan dua tiga kerat pemimpin UMNO yang mengetahui apa telah berlaku waktu itu.
Kedua-dua peristiwa berbeza seperti antara bumi dengan langit. Tidak usahlah cuba menyamakannya.
Selepas satu tahun, apa maknanya 16 September yang dilaungkan oleh Anwar sedangkan tiada apa yang berlaku pada 16 September yang lepas.
Waktu itu UMNO-BN betul-betul dalam ketakutan. Itu sebab ramai Ahli Parlimen mereka yang dibawa melancong dekat tarikh berkenaan ke Taiwan, Macao dan juga Washington. Pihak yang mengetahui mendakwa bahawa pelancongan itu dikelola dan diongkosi oleh Ketua BBC (Backbenchers Club) yang sekarang ini terlibat dengan skandal besar PKFZ. Sehingga kini pimpinan Kerajaan masih tidak merasa selesa. Apatah lagi dengan kekalahan 8-1 dalam pilihan raya kecil. Salah seorang tokoh yang dianggap 'pemimpin' kumpulan yang hendak melompat di Sabah telah diangkat menjadi Menteri Luar. Ada bau rasuah politik di sini!
Selepas satu tahun, adakah rakyat sudah lupakan mesej 16 September yang dilaungkan oleh Anwar? Adakah Hari Malaysia sudah tidak relevan dengan keadaan politik sekarang?
Yang jelas sebilangan besar rakyat serta pengundi benci dan marah terhadap UMNO-BN. Mereka mahukan perubahan. |
Post a Comment